Wednesday, October 22, 2014

Jejak Warisan Ke Kota Mengkuang, Kubang Pasu

Kota Meng Kwang adalah merupakan salah satu lokasi bersejarah yang ada hubungkait dengan Keluarga Tok Naidin. Ia merupakan antara kota pertahanan yang dibina oleh pahlawan-pahlawan yang berundur dari Siam setelah kalah dalam peperangan Sukothai. Walaupun Kota Meng Kwang yang bersejarah itu kini hanya tinggal nama dan kenangan tetapi usaha menjejak warisan tidak harus berhenti setakat itu sahaja. Ini kerana tuntutan menjalin hubungan silatulrahim adalah salah satu tuntutan dalam Islam yang menjadi saksi untuk dibawa ke akhirat kelak.

Pada 22 Oktober 2014 saya telah berpeluang mengikut satu rombongan Jawatankuasa Tok Naidin untuk melawat Encik Zulkefly Baharom yang merupakan salah seorang rakan Facebook saya dan mengetahui tentang cerita Tok Naidin.

Cetusan idea untuk melawat tersebut telah di timbulkan oleh Prof Dr Fazil menantu kepada Mat Zain iaitu dari jurai Keturunan Lebai Taha, Prof Dr Fazil telah berkunjung ke rumah saya tidak lama dahulu dan saya menceritakan bahawa ada kaum keluarga kita yang tinggal di kawasan Kota Mengkuang.

Tujuan membuat lawatan tersebut ialah untuk mencari sama ada Tok Nai Long yang terdapat dalam salasilah keluarga Waris Sharif Yang DiPertuan itu adalah orang yang sama dengan Nai Long yang terdapat dalam jurai keturunan Tok Naidin.

Setakat perjumpaan silatulrahim tersebut didapati pada peringkat itu tidak ada titik persamaan seperti yang dicari kerana Nai Long dari keluarga Sharif Yang DiPertuan itu adalah anak kepada Y.M Sharif Abu Bakar Shah sementara Nai Long dari Keluarga Tok Naidin adalah anak kepada Tok Nai Din. Namun rombongan kami mendapati kemungkinan Tok Nai Long bin Tok Nai Din itu adalah individu yang sama-sama berada dalam rombongan yang berundur dari Siam itu.

Di sinilah lokasi Kota Meng Kwang yang kini hanya tinggal nama dan kenangan.

Rombongan Keluarga Tok Naidin 
Encik Zulkefly Baharom


Mengikut ceritanya Tok Naidin atau di kalangan orang tempatan dikenali sebagai Tok La Din, dan rombongan mereka telah berundur ke Kedah untuk bersembunyi selepas kalah di Ayuthaya dalam peperangan Sukothai di Siam pada kurun ke18.

Rombongan yang mengundur dari Siam itu termasuklah juga Kerabat Sharif Yang DiPertuan. Mereka tiba di Kg Alor Ganu dan berkubu di situ sebelum berpindah ke Kota Meng Kwang pada tahun 1767. Rombongan itu terdiri daripada 500 ekor gajah dengan 5,000 orang pengikut. 

Pada tahun 1821 Tok Naidin berpindah ke Kota Meng Kuang untuk bertahan selepas kalah di Alor Ganu. Pada ketika itu juga berlakunya satu peristiwa yang dinamakan sebagai Musuh Bisik (17 Nov 1821). Ia merupakan satu strategi untuk menyimpan rahsia tentang strategi dan tindakan pahlawan-pahlawan tersebut. Adalah dipercayai berlakunya Musuh Bisik itu ialah kerana Siam berusaha mencari mereka yang bergelar Nai dan akan dibunuh jika dijumpai. 

Nama asal Kota Mengkuang ialah Kota Maeng Kuang " Semasa kewujudan kota tersebut, penduduk tempatan telah menanam banyak pokok mengkuang untuk menyembunyikan kota tersebut dan atas persamaan nama itulah penempatan ini di sebut sebagai Kota Mengkuang. 

Peta ini diambil dari blog ini


Saya petik sedikit kisah dari blog ini untuk tatapan keluarga. 

Apa yang terjadi kepada kota ini pada hari ini? Sungguh sayang sekali, khazanah berharga ini tidak diiktiraf, tidak dihargai dan tidak diberi pembelaan sewajarnya. Kini kota ini telah dipecahkan, dimusnahkan dan lenyap ditelan zaman. Sebahagiannya telah menjadi tapak mengorek pasir, kilang bata, dan kebun getah. Begitulah caranya kita menjaga khazanah silam. Sungguh meloyakan bukan? Jika di Britain, kota dan istana rajanya yang berusia beratus tahun dipelihara. Sebaliknya kota lama kita dilunyaikan jadi debu. Sebenarnya, kota lama ini boleh dibuat pusat sejarah dan menjana sumber pendapatan dalam sektor pelancongan. Barulah kita ada identiti dan teras jati diri.


Tok Naidin kemudian berlindung pula di Paya Pahlawan tetapi ada pengkhianat yang bersekongkol dengan pihak Sukothai telah memecah rahsia tentang tempat persembunyiannya. Mereka telah mengesan dan membunuh Tok Naidin. Kuburnya kini terdapat di Paya Pahlawan. 

Memandangkan Tok Naidin bersembunyi di kawasan Paya Pahlawan itulah maka ada kaum keluarga dari keturunannya yang tinggal di kawasan itu. Di bawah ini kubur Tok Nai Din atau Tok La Din.


NOTA: Kepada pembaca posting ini jika ada apa-apa kecelaruan fakta, harap dapat hubungan saya untuk dibuat pembetulan. 

No comments:

ALAMAT AJK KELUARGA 2009